Monday, December 17, 2012

Main Gila


Main Gila. Sebuah buku yang menceritakan kegilaan yang menari-nari di atas garisan normaliti. Antologi cerpen hebat garapan tujuh belas penulis yang merencah karya berdarah ini dengan cukup bergaya.



dapatkan di Lejen Press atau di pasaran tak lama lagi. cekau satu, gerenti tak menyesal.


Thursday, December 13, 2012

bahasa surat

bahasa surat ini menggamit
menjentik sukma, lahir keinginan
membait rasa, terbit kesantunan
meluah jiwa, ukir kehalusan

bahasa surat ini menduga
mengenggam hati,
pasak yakin rindu
dan beralun lembut
membelai rasa kasih

bahasa surat ini berdimensi lena
memujuk ruang hati berkurun sepi
mencambah sirna,
cetus kemungkinan
menggugah harapan, meremuk kemusykilan

aku menanti saban hari
suratmu bertandang mengiringi khabar
meraikan hariku,
lalu hapus derita memanjang
kerna aku tahu,
bahasa suratmu menjadi idaman kalbu

manusia

masa semakin dewasa,
,manusia semakin leka

dikunci merana,
dibebas menggila


Wednesday, December 12, 2012

senja

senja turun perlahan
aku serah jiwa pasrah
lepaskan semua mimpi gundah
lagi palsu
setelah membejat hati membelah

merah jingga itu menjerit
aku tunduk lalu mengerah
kalah pada suasana
serah pada seadanya
mana mampu
untuk aku berkata, kala ini

tika senja beransur hilang


Tuesday, December 11, 2012

paling takut

aku paling takut
dalam hidup ini
sekiranya aku tak sempat membalas
apa sahaja yang mereka limpahkan padaku

mereka.
mak abah

Monday, December 10, 2012

idamanmu

aku ingin menjadi idamanmu
setiap saat
tanpa ragu

maafkan aku
jika aku paling lemah di antara sekaliannya

Saturday, December 8, 2012

Muda

mudaku dijamah waktu memusat
sedangkan aku masih memeluk mimpi-mimpi bertebaran
perlukah aku untuk melepaskan?
sedangkan mimpi ini mampu memusnahkan

setiap jalan berliku ini, aku mencari jawapan
dan setiap persimpangan ini, aku mencari persoalan
setiap kiri dan kanan, aku mencari kemenangan
dan setiap belakang dan hadapan, aku hapus halangan

aku berharap, mudaku tenang-tenang sahaja
patuh pada yang patut
dan lalai pada yang karut
biarlah mudaku terus digenggam
asal aku tak leka, mudaku terus terpelihara.


Di sana dan di sini

dalam hal-hal tertentu, aku pernah terfikir, kenapa aku berada di sini?dalam waktu begini?
aku imbas semula, dalam waktu begini, apa yang aku lakukan bila berada di sana?bukan di sini?
bila aku dapat jawapannya, aku menganggap aku menjadi mangsa pada masa dan waktu
aku di permainkan dalam relung waktu yang tak pernah aku sedar dan ketahui
jika aku berada di sana, pada waktu itu, pernah aku menganggap aku akan berada di sini?
ajaib..
pada waktu itu, aku yakin, aku akan berada di sana selamanya
aku akan gembira dengan impian yang tak pasti di sana
apa yang terbentang dan dihamparkan, hanya hidangan untuk sekelip mata
bila aku kelip mata buat kali kedua,
aku sudah berada di sini.
dan aku telah pun lakukan sesuatu yang juga tak pasti
yang membezakan hanyalah waktu, tempat dan masa
yang menjadi persamaan adalah aku dan impian dan sesuatu tak pasti itu.

Sunday, December 2, 2012

Selamat

aku tak pernah jamin aku akan selamat
kadangkala aku tak selamat dalam masa
tapi selamat dalam keadaan.

bila aku tak selamat dalam keadaan
tapi aku selamat dalam doanya
bila selamat dalam doa
jangan risau, aku akan selamat dalam takdirNya


Takut

Waktu ini, buat aku terus takut
Takut pada tak pasti
Dalam takut aku keliru
Dalam keliru aku resah
dan dalam resah?aku bisu

Aku takut pada segalanya
Yang mungkin, dan yang akan terjadi
Sekiranya aku mampu membaca masa depan
Aku akan bersedia
Hapuskan rasa takut-takut yang buta

Aku harap, takut ini bukan lemah
dan juga menyesakkan
Sesungguhnya, aku letih rasa takut


Thursday, October 25, 2012

Aku berjiwa hamba

aku berjiwa hamba
di setiap saat,
aku mahu meminta sebanyak-banyaknya
tanpa jemu,
tanpa gelisah
moga iman terus yakin
kuasaNya, kasihNya dan rahmatNya
sampai akhirku

semoga aku terus diberkati. dunia akhirat.

doa tanpa usaha, itu bohong
usaha tanpa doa, itu sombong.

Salam Aidiladha semua

Wednesday, October 24, 2012

Hampir sempurna

aku tengok sekeliling, kesemuanya hampir sempurna
dari atas hingga ke bawah, dari dalam hingga ke luar.
baguslah
semoga mereka pun reti bersyukur.

Tuesday, October 23, 2012

Tiada Tajuk. Hanya Angan Saja

Setiap hari, bangun pagi, aku punya angan-angan tinggi.
Angan mahu corakkan hari-hari aku
Hari aku yang paling indah antara hari-hari orang lain
Pada tahun-tahun sebelumnya
Pada saat-saat diabaikannya.

Angan yang boleh jadi realiti
Mungkin juga fantasi.
Setiap kali nafas mengembang dan mengempis
Aku terus nikmati hari-hari ini
Kerana aku tak tahu
Hari-hari esok,
Adakah aku dapat dengar nafas ini?

Dunia seputar aku

Dunia putar ligat
Aku berdiri di tengah
Kaku dan senyap
Mengunci dan termangu
Tidak juga terpinga
Apatah lagi memusing

Dunia terus berputar
Bagai tidak peduli
Dan aku masih di sini
Hanya menunggu
Pada ketidakpastian
Tidak bergerak, apatah lagi melangkah
Jiwa sudah culas

Dunia itu meninggalkan
Dan aku ditinggalkan
Menjadi tuli pada manusia
Menjadi lali dengan masa

Jika aku terus begini
Bodohlah aku
Rugilah aku
Sia-sialah aku
Tiba masanya aku bergerak
Mengejar
Pada dunia yang terus berputar

Dunia yang ketinggalan?
Biarkan.

Sunday, October 21, 2012

Esok

Esok. Aku tak tahu gembira atau sebaliknya. Kalau aku sedih, mungkin aku menangis.
Tak semua orang sedih, akan menangis. Dan tak semua orang menangis, akan jatuh sadis

Tapi jawapannya, hanya pada hari esok.
Aku menunggu yang itu.


Saturday, October 20, 2012

Ajaib

setiap hari, bangun pagi-pagi, aku mahukan keajaiban
apa sahaja.

nak ajaib apa?

bangun pagi, hirup udara segar, hidup setelah 'mati'. ajaib la tu kan


Pada sebuah cerita lama

Hanya sebuah cerita lama. Kau, aku dan lain-lain. Baring terlentang menghadap hamparan langit malam. Bintang, bertaburan sana sini. Atas bumbung paling atas.

Kau pun mendepakan tapak tangan ke atas. seluas-luasnya. Aku nampak bintang di celah-celah jemari kau. Memang cantik.

Kau pun berkata "Kita selalu nak capai impian tu, tapi sebenarnya impian tu paling mustahil nak dicapai. Mungkin sampai bila-bila pun"

Impian apa?

Mengenggam bintang di langit" Kau pun tersenyum

Aku dan lain-lain pun turut mendepakan tapak tangan, lalu mengenggam. Erat


ini cerita lama. kau, aku dan lain-lain
kita semakin dewasa
memang mustahil untuk baring melihat bintang
dalam cerita baru


Friday, October 19, 2012

Doakan aku

Sepanjang aku hidup, apa yang aku lakukan untuk mereka
Puaskah hati mereka?
Gembirakah mereka?
Terbalaskah budi mereka?
Itu yang aku selalu fikirkan

Kadangkala, aku bagaikan paling lemah di antara semua
Kadangkala, aku rasakan aku tidak punya apa
dan kadangkala, aku anggap aku tidak mampu untuk semua

tetapi seringkali aku berkata, "Aku tidak akan berjaya. sampai bila mana pun"

itu kata hati aku sendiri.

tapi kata mereka " Kau dah berjaya sebenarnya. jangan takut dengan diri dan masa depan. teruskan"

aku kembali tersenyum.
aku semakin yakin


doakan aku untuk hari esok dan seterusnya

Di Bumi Ini

Aku menangis di bumi sendiri
Merunduk sepi di kamar sunyi
Mampukah aku untuk berlari?
Menuju pada hak sendiri

Aku dikunci oleh manusia
Sedangkan aku tak punya apa
Mampukah aku untuk berkata?
Kala nista terus menerpa

Hentikan hukuman itu
Pada jiwaku yang cukup terseksa
Izinkan aku mencari ruang
Agar aku bisa gembira di bumi ini

Friday, September 14, 2012

Keterlanjuran

Ketelanjuran ini,
Aku mahu pejamkan mata
Serapat-rapatnya
Selama mana,
Setahan mana,
Kudrat dan nafas bersatu
Aku terus pejamkannya

Sehinggalah aku sedar di kala aku berada di permulaan
Di kala aku tidak tahu apa-apa
Di kala aku baru mengenal manusia
dan di kala aku mula gelumang dengan masa
Kerana apa?
Kerana aku mahu ubah segala-galanya
dan aku tidak mahu mengulanginya
Seperti apa berlaku di ketelanjuran ini.
Aku merayu pada masa
Campakkanlah aku pada masa lalu.

Monday, September 10, 2012

Aku kembali ke sini

Aku tak pernah sangka
Aku berdiri di sini lagi
Kaku di balkoni sendiri
Tekun pada daun gugur tak bertali
Ralit pada bunga bersemi

Siapa pernah menyangka
Aku kembali untuk selamanya
Pergi tanpa berita
Dan datang tanpa derita

Aku terus berada di sini
Pada sebuah kenangan yang bererti
Semoga jiwa terus membudi
Dan berbakti pada diri.

Sekiranya di beri peluang dan ruang, aku mahu mohon maaf pada semua. pada semua.
Di atas kepulangan
Berikan masa dan ruang, untuk diri
Semoga aku sentiasa dirahmati. amin

Friday, April 27, 2012

Luahan Rasa : Pada sebuah kenanganmu

Tika aku kepupusan kenanganmu
Aku berkelana di belantara suram
Menyepi
Menyendiri
Kucuba melembutkan watakku
Pada janjimu yang terhambat
Pada ketika itu.

Aku bangkit
Tika aku lemah dari kelana ini
Aku terus mencari
Puing-puing kenanganmu
Yang mungkin melingkariku

Hakikatnya
Aku gagal
Kenanganmu terlalu ampuh
Terlalu angkuh
Untuk datang bertandang
Bagai rela dirangkul bayu lembut
Daripada terus mendakap tubuhku
Yang pudar saban waktu

Sekiranya
Aku dijanjikan akan kenanganmu
Akan aku warnakanku
Secantik warnamu
Akan aku lukiskanku
Seindah lukisanmu
Percayalah.
Aku akan merasai sakit
Sekiranya aku mengingkarimu

Tuesday, April 24, 2012

GASAK. akan datang


Gasak. buku kedua selepas Hero. Insyallah, akan datang Jun nanti :)

Monday, April 23, 2012

Luahan Rasa : Sang Peluang dan Sang Bodoh

Datanglah kepadaku
Wahai sang peluang.
Ketuklah pintu ruangan gelapku ini
Agar aku bisa meluru ke arahmu.

Pergilah engkau wahai sang kebodohan
Berambuslah dari ruangan sempitku ini.
Agar aku tidak menjadi mangsamu lagi.

Hamparkanlah laluan untukku sang peluang
Agar aku bisa lewati permatang silam
Untuk aku kenang kembali
Akan kejahilanku.

Ketepilah engkau dari laluanku sang kebodohan
Agar aku bisa melangkah ke hadapan
Untuk aku perbetulkan kembali
Akan kesilapanku.

Sunday, April 22, 2012

Luahan : Aku tak mahu dibunuh

Di kemudian hari
Aku tak mahu dibunuh lagi
Oleh mimpi-mimpi kejam

Aku tak mahu menangis lagi
Oleh mimpi-mimpi kelam

Mimpi,
Hakikatnya disulami keindahan
Tetapi realitinya diselangi kesakitan.

Monday, April 16, 2012

Luahan Rasa : Picisan

Sekian masa
Saban waktu
Jiwaku semakin pupus
Hilang perlahan-lahan
Bagai diserap bayu malam menggila

Ruangku bagaikan vakum
Kosong

Aku seperti ketandusan udara
Sesak

Rasa apakah ini?
Sehingga membutakanku
Izinkan aku berlari bersama luka pedih ini
Agar aku ubatinya di kemudian hari
Sampai bilakah aku begini?
Rasa picisan menghimpit
Terus terasing dibumi sendiri

Izinkan aku menadah di hamparan
Merayu terus meminta
Semoga esok menjadi milikku.
Amin

Sunday, April 15, 2012

Sang Juara

Di sebuah hentian usang, hujan turun lembut membasahi bumi lalu menempiaskan lukisan alam yang lembap. Aku hanya duduk termangu, bersama lelaki pendiam itu. Masing-masing tekun merinci pada titik-titik yang beritma perlahan. Tiada apa yang diungkapkan. Hanya mengunci. Tetapi aku masih mendengar gelodak kasih dalam jiwa kental lelaki di sebelahku. Berombak kencang dalamannya, tetapi tampak tenang luarannya.

Di saat aku mula melangkah, aku segera mengucup tangannya. Kehangatannya menular. Perlahan-lahan aku mula dihimpit sebak. Saat aku semakin kejauhan, 'bisa' ini semakin tidak tertahan-tahan. Redup pandangan kasihnya, menenangkan. Ukiran senyuman tipisnya, mendambakan. Mana mungkin dapat aku lupakan akan garis-garis tua yang berselirat di wajahnya, pada ketika ini, di saat aku di kejatuhan.

Siapa yang dapat mampu menewaskannya
Abah
Sang juara terulung di dunia
dan akhirat

Luahan Rasa : Aku Perindumu

Aku leraikan satu persatu kelopak mawar
Biarkan beterbaran
Agar harumannya melingkarimu
Dan mendamaikan

Aku berbisik pada camar itu
Biarkan menerjang badai senja
Agar mereka sampaikan kata rindu padamu
Dan mengasyikkan

Aku terus menjadi perindu
Pada sebuah hakikat cinta
Yang terus bersemadi
Antara belahan jiwa kita
Semoga hari-harimu milikku
Selamanya

Thursday, April 12, 2012

Luahan Rasa : Hentian

aku berjalan, bagai dihantui pelbagai hentian
setiap hentian, langkahku mula tertahan
memandang hadapan, lalu mendongak ke hamparan
berat persoalan dan fikiran meletihkan

setiap hentian, beza dugaan
benakku dihimpit soalan meragukan
di kala dada makin menyesakkan
adakah aku sudah kejauhan?
atau makin menyesatkan?

aku menyingkap rasa kerinduan
menyelongkar hikmah diiring kepiluan
moga masaku bukan dalam kerugian
menabur cinta rahmatMu yang mendamaikan.


Kenangan di Krabi, Thailand. Mac 2012

Wednesday, March 14, 2012

gadis di warung jalanan

aku duduk-duduk di warung jalanan, pada suatu petang yang agak redup. biasan cahaya matahari hanya melukis hambar di jalan-jalan tar hitam lusuh. sambil menggosok gelas kaca yang menempiaskan suam kopi pekat hitam kelat, aku sengaja meliar ke segenap sudut petang. tatkala itu, melintas lah seorang gadis. sederhana saja di mata aku, tapi ianya menyenangkan. sambil melirik ke arah aku, masih ade kesempatan dia mengukir senyuman tipis. tapi langkah kakinya masih dihayun perlahan. dalam perlahan terserlah kelembutan. jadi reaksi apa yang perlu aku ekpresikan? aku hanya tersenyum. aku menggunakan kekuatan aku dengan senyuman. di sebalik senyuman, rupanya aku mula ditawan. jadi bagaimana aku nak luahkan? ekori dia, cuit bahu, lantas dia menoleh, terus aku mintak alamat dan no telefon? tanya ada akaun facebook ke tidak? paling tidak pun aku baling batu kerikil untuk raih perhatian dia? sedangkan aku tak pernah kenal dia sebelum ni. asal usul dia, di mana dia tinggal, tak pernah aku ketahui. jadi aku biarkan saja pandanganku melewati pada setiap derapan langkahnya yang semakin menjauh.

hari ni aku berjumpa dengannya. sekiranya hari esok, aku masih berada di warung jalanan ini, adakah aku berkesempatan untuk berjumpa dengannya lagi?sedangkan hati aku sudah mula ditawan. jadi biarkan saja aku simpan rasa-rasa itu. aku peramkannya. biarkan ianya betul-betul masak. sekiranya aku berjumpa dengannya lagi, akan aku luahkan semuanya.

perempuan. saban masa, datang dan pergi. yang terakhir adalah untuk kita, selamanya.

Thursday, March 8, 2012

ingatlah kawan
dugaan hari ini, sebenarnye persiapan kita untuk hari esok
kita hidup bukan untuk hari ni saja, tapi untuk hari esok, lusa, tulat dan seterusnya
sekiranya kita pernah menganggap bahawa dugaan hari ni terlalu berat,
pernah kita menjangka sejauh manakah beratnya dugaan pada hari mendatang?

ingatlah kawan
kita hidup bukan seorang diri, tapi kita hidup bersama orang lain,
dan juga untuk orang lain
sekiranya kita lemah, pergi saja pada mereka.
percayalah, mereka akan membantu

jangan penah menyesal
yakin saja
anggap itu semua kebaikan untuk diri sendiri
dan juga orang yang penah menyakitkan.

Wednesday, February 22, 2012

waktu-waktu begini

waktu-waktu begini mahu saja aku duduk-duduk di tepian pantai. aku biarkan saja kaki ini dijamah ombak melembut. dan aku biarkan saja badan aku dirangkul bayu menjemput. luaran tampak tenang. tapi dalam? rasa ini aku makin tak tertahan. aku perlu lepaskan perlahan bersama bayu yang pergi. agar sampai pada jiwa di sana pergilah bayu laut, semoga kau datang kembali dengan perkhabaran gembira.

wahai perempuan, semua lelaki adalah baik. alangkah indah sekiranya kalian mengerti betapa ikhlasnya jiwa-jiwa lelaki.

ada apa hari esok aku?

dunia. siapa pernah dapat menyangka. termasuklah aku. tak sangka dah 23 tahun aku berjalan. kadangkala aku berlari. seringkali juga aku tersungkur. tak ketinggalan juga aku pernah merangkak. jika di toleh ke belakang, mungkin aku dapat melihat bermacam gaya corak laluan yang dah aku nukilkan. bila aku nampak ada sedikit kecacatan, mahu saja aku ingin betulkan. biar corak tu nampak lebih cantik. tapi hakikatnya aku tak boleh. bila aku toleh ke depan semula, laluan aku tampak kosong. kemudian aku berfikir dengan pelbagai cara, bagaimana aku nak corakkan laluan aku? bagaimana rupa corak aku bila dah terhasil nanti?

hari ini, mungkin aku hanya mengangguk, tersenyum dan tertawa dengan segala apa yang ada depan aku. hari esok atau lusa? mungkin aku menggeleng, sedih dan menangis dengan segala kemungkinan yang tak terduga. ternyata aku tak boleh berfikir untuk hari ni saja. aku perlu berfikir untuk hari esok, lusa, tulat dan seterusnya. dah tiba masanya aku memasuki fasa baru. bersedia tau tak? aku kena tanya diri aku sendiri. tempoh 23 tahun rasanya aku masih belum berjaya terokai dunia lagi.

darah muda biaselah. dah puas cari ilmu, nak jugak rasa pegang duit sendiri. ye dok?

Wednesday, February 15, 2012

dalam dunia aku

bila duduk termangu, aku mula menyusur satu ruang yang aku rasakan betapa janggalnya aku. janggal dalam realiti dan dunia aku sendiri. sedangkan realiti dan dunia inilah yang akan membawa aku satu hari nanti. di mana aku berdiri dan ke mana aku akan bertapak. bila duduk termangu tidak semena-mena aku rasakan yang aku tak ubah seperti makhluk yang hanya mengeluh; akan nasib dan kekurangan. sedangkan perkara itu lazim dan hakikat yang perlu dihadapi. bila duduk termangu, aku rasakan aku tidak mampu untuk melakukan sesuatu yang melampau batas akal, yang boleh mencabar diri aku sendiri, sedangkan aku perlu melakukan perkara-perkara yang paling aku takuti.

rasa-rasa seperti inilah yang membuatkan aku merasa lebih janggal akan duniaku sendiri. setiap hari aku pujuk diri aku sendiri supaya berusaha untuk berubah. berubah untuk menjadi diri aku sendiri sudah memadai. jangan berubah untuk menjadi orang lain. tunjukkan kehebatan sebagai diri sendiri daripada menunjuk kehebatan seperti orang lain. itu yang aku selalu titipkan.

aku yakin, aku bukanlah orang yang paling lemah di kalangan umat. dalam lemah sebenarnya ada kuat. walaupun sebesar zahrah. aku perlu mencari yang itu.

dan aku yakin, aku adalah hamba yang paling lemah disisiNya. agar aku terus menjadi kuat, dengan hari-hari dan duniaku sendiri. Insyaallah.

Friday, February 10, 2012

takut

sepanjang kita hidup, pernah terlintas yg kita takut nak lakukan sesuatu perkara, padahal kita punya minat dan semangat. jadi kenapa kita takut? adekah kita tak mampu atau kita takut dengan kata2 orang?

sebenarnya dua-dua. tak mampu dan takut dengan kata2 orang. tapi sekiranya tak mampu, sekurang2nya kita boleh mencuba. biarlah tak berhasil, asalkan kita puas.

tapi kata2 orang? ianya boleh membunuh. kita boleh mati dengan sindiran dan kutukan mereka. lumrah manusia. biasalah.

Thursday, February 9, 2012

ideologi itu genius

aku hidup dikelilingi orang2 yang punya ideologi tersendiri. orang2 seperti ini aku gelarkan sebagai genius. bagilah apa saja isu pada mereka, pompang pompang, mereka ade pandangan tersendiri. mereka dapat pisahkan jurang antara fantasi atau realiti, antara yang hak atau batil dan antara tersirat atau tersurat. kupasan demi kupasan yang membuatkan kita berfikir dan seterusnya mengiakan segala kata2 mereka. pemikiran mereka benar2 jauh di luar kotak. melalui pemerhatian dan pengalaman saja dah cukup sebagai bekalan.

orang2 seperti ni yang aku betul2 kagumi.
mungkin aku hanyelah orang memerlukan pembelajaran berulang kali.
nak jadi seperti mereka, aku akui susah
dan kadangkala aku rasa takut,
sekiranye aku sendiri yg menjadi mangsa oleh ideologi sendiri.

Saturday, January 21, 2012

tak ikut kemampuan, binasa

aku tak boleh paksa diri aku untuk buat sesuatu yang di luar kemampuan. binasa. hasilnya takkan menjadi. tak puas. takde kualiti. tapi aku kena paksa diri aku untuk buat sesuatu mengikut kemampuan, dari hati dan akal. hasilnya memuaskan. berkualiti. biarlah sederhana. asalkan aku ada cara tersendiri. mulanya memang perlahan, tapi kelamaan ianya membanggakan.

kenapa mesti malu nak belajar daripada orang lain?
aku akan terus belajar.
orang2 hebat di mata aku ni ramai.
tapi aku kenalah rajin mencari.

Wednesday, January 11, 2012

Luahan rasa : bila kita di pentas

masa lalu hanya cebisan daripada sejarah yang kita cipta sendiri
di kala kita hanya watak baru yang diperkenalkan di pentas lumrah dunia
mungkin di kalangan kita, ada yang paling gembira di pentas itu,
gembira menyusur hamparan luas yang membolehkan dia mencipta kegemilangannya sendiri
dan mungkin juga di kalangan kita, ada yang paling takut di pentas itu,
takut untuk meneroka gelombang dunia yang boleh menenggelamkannya sendiri

apa yang kita corakkan, itulah kita
bangun dah jatuh, yang merasainya tetap kita
pahit dan manis, yang mengenangkannya adalah kita

jangan takut dengan masa di hadapan kita,
kerana lambat laun, kita akan merasainya juga
cuma yakin dan berhati-hati saja

Lagi Rebiu Dua Jalan di Kuala Lumpur

beberapa rebiu pasal Dua Jalan di Kuala Lumpur dalam Hero

1. Cerita yang mengisahkan tentang persahabatan antara 2 orang iaitu Adib dan Nizam, insan yang berbeza serta takdir mereka sendiri di Kota Metropolitan untuk mengejar impian masing-masing. Setelah beberapa tahun lepas zaman persekolahan baru mereka bertemu kembali tetapi dengan cara yang tidak pernah mereka bayangkan. Akhirnya Adib mati di tangan Nizam demi kewajipan dan tanggungjawab Nizam sebagai anggota polis yang sedang bertugas menumpaskan musuh negara sendiri. Sebak juga cerita nie sebab ending dia betul-betul deep[menusuk kalbu]. Nasib tak mengalir airmata aku baca cerita nie. Pendek pula jalan cerita nie. Tak puas baca sebenarnya. - blog Si Gades Bujang

2. Tulisan yg boleh tahan serius. Bermain dgn emosi. Antara impian, harapan dan kenyataan. Ada 2 jalan kehidupan utk dipilih. Silap pertimbangan, celaka kehidupan. Cewaaahhh! Gua bagi 3/5. - blog Kisah Klasik Masa Depan

3. Cerita dia sedap..kisah Adib & Nizam ; ada sorang makwe juga sebagai seri cerita..tak berapa tipikal tapi cukup buat pembaca rasa situasi genting dalam port klimaks..tak sama macam drama tivi yang scene pendek..tapi teknik imbas kembali yang di lakukan oleh Shahir cukup berjaya..ke telitian dalam menggambarkan suasana tu sangat kagum..& ending dia serupa macam filem apa tu nama dia yang adaptasi nama khabi kushi khabi gam? lupa lah..& apa abang boleh cakap, cerita ni lebih bagus dari tengok tivi..serius - blog Abang Zam


belilah Hero. tak merugikan. malah menguntungkan. dalam Hero dah cerita segala2nya. cerita aku mungkin kurang impak bagi kalian, tapi jangan lupa pada 4 cerita lain. hasil tangan Zara, Lelep, Fikri, Bozu boleh menjentik lagi perasaan Hero korang tuh. 

siapa berminat? boleh oder kat lejenpress.com. takpun info@lejenpress.com
rm20.00 saja. lagi berbaloi beli mangga dengan majalah Kuntum

*aku senyum sampai telinga. walaupun masih bnyk lagi kekurangan.,terima kasih
* aku masih curik mase nak buat rebiu penuh Hero ni. projek tahun akhir benar2 nak bunuh aku!

Tuesday, January 10, 2012

Luahan rasa : sejarah kita mungkin berulang

malam ini seperti beku
tanpa kata-kata indah
dan tawa menenangkan
tatkala kamar ini sangat hambar
dan bertebaran semua puisiku
puisi-puisi hanya untukmu
pasrah dirangkul angin bisu
menerjang pekat gelap menggila.

aku seperti beku
ralit pada liuk lentok api lilin
akhirnya padam bersatu kelam
membuatkan aku terus tenggelam
bayangan kecewa terus terpendam
menanti sirna yang lemah kugenggam

dalam kelam, kau datang
secalit senyum, terukir tenang
ah, manismu masih seperti dulu
rahsia membungkam di sebalik senyuman
adakah harapan atau sindiran?
aku makin keruan, dilambung goyah
ya atau tidak
benar atau salah
kehadiranmu menerpa
adakah sejarah mungkin berulang?
membibit sangsi, galau beraja
sesungguhnya, aku terpana akan dimensimu
jika diberi peluag
kita akan bertemu
dalam realiti ini
percayalah

Sunday, January 8, 2012

nikmat syukur 2011

hari ni 9 Januari 2012. maknanya dah 9 hari aku bertapak kat alam 2012 nih. sebuah permulaan yang baik bagi aku. kerana aku tinggalkan 2011 dengan senyuman, di atas momen-momen yang tidak disangka. kadangkala ada juga momen yang memang indah tak terkata.
2011 membuatkan aku lebih matang untuk kenal diri aku sendiri. kemampuan aku untuk mecapai sesuatu. 'produk' yang telah aku hasilkan, cemerlang atau sebaliknya. dan 2011 juga membuatkan aku lebih arif tentang sekeliling. alam dan manusia. di mana peranan aku bagi mereka. berbaloi atau tidak. persoalan2 sebegitu yang sering memberatkan kepala otak aku. tapi aku berjaya tempuh di pengakhirannya.

2011 membuatkan aku tak berhenti belajar dan bersyukur di atas nikmat-nikmatNya yang tidak pernah kita sangka.

Hiroshima. Jun 2011. Program Mobiliti Kepimpinan Pelajar Kochi Univ
jujur. dari dulu aku dah pasang angan nak jejak Hiroshima, lepas aku tonton satu dokumentari pasal Hiroshima 10 tahun lalu.


kalau nak belajar sesuatu, datanglah dari negara yang mundur. banyak yang aku dapat dari sana

buku pertama aku bersama penulis lain. Hero. Disember 2011
tak pernah aku sangka. permulaan hanyalah percubaan untuk bertapak dalam penulisan.
aku akan cuba perbaiki untuk naskhah akan datang


bila aku dapat semua ni, baru aku sedar, yang aku tak sepatutnya berhenti bersyukur. sekali kita bersyukur, yang di atas takkan jemu bagi kita 1001 nikmat seterusnya. lumrah, kadangkala kita pernah terpikir, yang kita ni lazim melakukan dosa dan mungkar, tapi yang di atas tidak pernah berhenti memberi. kenapa? sebab yang di atas adalah Maha Pemurah. Maha Pengasih. jadi bersykurlah, bukan merugikan tapi menguntungkan.

2012. aku berharap aku lebih baik sebelum ini. menjadi yang terbaik untuk diri aku sendiri dan orang lain. dah tiba masanya aku memulakan sesuatu untuk fasa baru aku. fasa kerjaya. rasanya aku tak perlu lagi mengharapkan masa dan keadaan semata-mata. aku perlu terus bergerak. daripada duduk diam menyerahkan segalanya pada nasib.

dan rasanya aku tidak perlu takut dan kurang yakin dengan kemampuan aku. kalau nak berjaya, kena berani. jangan lari dari kenyataan. itu pengecut 

sekian

p/s : lepas pegi jepun & kemboja, aku makin ketagih nak pegi tempat orang
       -insyallah, kalau takde aral. buku kedua. awal 2012 ni.