Tuesday, October 25, 2011

Cerpen : Dalam Kerinduan Hiroshima


 "Tanaka melihat jam yang melingkari pergelangan tangannya. Ah, jam baru menunjukkan 8.12 minit pagi. Terlalu awal baginya. Dia mendongak, melihat hamparan langit. Kelihatan tiga buah pesawat pengebom berlegar-legar di ruang udara Hiroshima. Tanaka cuba mengecam pesawat pengebom itu.
“Masya Allah!”. Kalimah suci itu terpacul daripada mulutnya setelah mengenalpasti itu adalah pesawat perang Amerika Syarikat, B29.
“Lari!!selamatkan diri! Kita akan diserang!”. Tanaka berlari kearah utara sambil menempik. Memberi amaran kepada orang ramai yang terus bersimpang siur. Lagak pelik Tanaka terus menjadi bahan ketawa orang di sekeliling. Amaran Tanaka langsung tidak diendahkan.
            Tiga minit kemudian, sebutir bom atom Uranium-235 telah meledak pada jarak 600 meter dari atas bangunan Hospital Shima, kira-kira 300 meter dari tenggara Jambatan Aioi. Keadaan sekeliling serta merta gelap, disusuli tekanan letupan yang maha dasyat. Sehingga menghasilkan jaluran asap bak cendawan yang meninggi hingga beberapa meter ke atmosfera. Ledakan yang disertakan dengan gegaran bunyi yang kuat dan biasan cahaya putih yang amat menyilaukan itu merupakan kesan daripada 50 kg Uranium, bersamaan dengan 16,000 tan bahan letupan kimia yang tinggi.
“Allahuakbar!!!” Tanaka terjun ke sungai Motoyasu tatkala gelombang api semakin menghampiri. Serentak dengan itu, terdapat bola api yang berdurasi 1 saat dan berdiameter lebih 200 meter tergantung di tengah-tengah langit hitam Hiroshima. Ramai yang mati serta merta akibat sinar haba yang mencecah 3000 hingga 4000 darjah celcius itu.
            Tanaka menyelam sedalam-dalam yang boleh. Nafas yang dikumpul tatkala sebelum memasuki air, dirangkul sehingga menyempitkan paru-paru. Setelah tiga minit, Tanaka menyembulkan kepala di permukaan. Mengambil oksigen sambil tercungap laju. Kelihatan orang ramai berpusu-pusu  terjun ke sungai. Ada yang meronta-ronta meminta air dan ada juga yang terbakar seluruh badan. Tanaka berenang ke tepian. Sungai Motoyasu semakin sesak dengan manusia yang bermandikan darah. Bahang panas terus menyiat-nyiat kulit. Bagaikan matahari sejengkal dari kepala.
            Tanaka melihat keadaan sekeliling. Gelombang api yang mengganas telah meranapkan seluruh bangunan sehingga dua kilometer dari pusat letupan. Di kejauhan utara kelihatan api marak yang menggila, menelan mangsa tanpa belas kasihan. Mayat-mayat pula bergelimpangan di atas jambatan Aioi. Seluruh badan mereka melecur teruk, sehingga tidak menunjukkan rupa fizikal manusia yang sebenar. Di hadapan bangunan Dewan Promosi Perindustrian Hiroshima yang hampir runtuh itu, kelihatan orang ramai berteriak menyelamatkan diri. Berlari sambil mendepakan kedua-dua belah tangan. Kulit yang tersiat terjuntai-juntai bagaikan kain perca. Pakaian mereka koyak rabak. Seluruh badan kehitaman, sehingga tidak dapat membezakan antara lelaki dan wanita. Kedua-dua biji matanya tersembul manakala bibir mereka terjuir-juir.  Di sana sini kelihatan kanak-kanak bertelanjang, menangis memanggil ibunya. Daging mereka bagaikan disalai. Peritnya memang tidak tertanggung. Hiroshima benar-benar bagaikan kiamat.
Tanaka melihat jam. Jarum minit dan saat terhenti, menunjukkan 8.15.
“Ya Allah, malapetaka apakah ini?”. Tanaka bagaikan hilang arah. Memandang sekeliling sambil matanya berpinar-pinar. Lecuran di bahu kiri dan kanannya bagaikan ditoreh-toreh, lantas baju rabaknya dikoyakkan. Ketika ini, Tanaka mula memikirkan nasib kedua orang tuanya, lantas berlari sekuat hati meninggalkan suasana perit yang menyelebungi bandar Hiroshima. "
  
petikan cerpen 'Dalam Kerinduan Hiroshima'
karya : shahiryusoff






 kenangan di Hiroshima. Jun 2011. 
sekiranya ada peluang kedua, akan aku bertandang ke tempat ini semula.
sekian.
 






0 semut-semut: