Monday, October 31, 2011

1 dollar di Kemboja

ini merupakan sebuah bingkisan cerita yang jauh dari bumi yang kita pijak sekarang. kisah aku dan mereka, di bumi daif Kemboja. petang itu, aku, faizal amri, danial farish, nur farisya dan mimi aliah, hanya lepak minum di gerai jalanan. sambil meghirup udara Phnom Penh yang ternyata menyesakkan dengan kesibukkan warga kota.
tidak semena-mena datang seorang kanak-kanak perempuan. sekitar umur 5 tahun. entah dari mana datangnya. kitaorang tak sedar. hanya berkaki ayam. baju tshirt putihnya penuh dengan sisa kehitaman. berseluar pendek biru kundang yang hampir koyak di sana sini.

budak tu mendekati. gigih mengoncang-goncang bakul merah. di dalamnya terkandung pelbagai gelang manik yang berdenting-denting. agak membingitkan. disebabkan aku tak tahu gerangannya, jadi aku gelarkannya sebagai Sally.

 please... buy my bracelet. only 1 dollar.. 1 dollar..
Sally tidak henti menagih perhatian. sementara tangan kirinya menjulang-julang rantai manik buatannya.

one for 1 dollar..1 dollar...
aduh suaranye. kasihan betul. matanya aku tengok seperti bersinar-sinar.

tapi rayuannya seperti diendahkan. aku tengok faizal amri sibuk dengan henpon tiga tiga sekupang die, danial farish pulak sibuk nak betulkan kolar baju die. si nur farisha pula sibuk nak tarik-tarik rambut die. ade kutu katanya. aku pulak? aku sibuk tergaru sane sini. mimi aliah je yang rasa kesian dengan Sally. lalu terkial-kial keluarkan satu note duit kertas 1 dollar dari poket seluar jeansya.

ok..if i want two bracelets, can i have it like 1 dollar?
no..no..no! one for 1 dollar. two for 2 dollar!. Sally merengus manja
erm actually what you want to do with this money?
This money for my mom. Sally bersuara perlahan

kitaorang tersentak. rasa simpati menghiris-hiris tajam.

if that so, i dont want buy your bracelets. here your 2 dollar. mimi aliah segera menyelitkan 2 dollar pula ke dalam kocek baju Sally
no..no...!! you must buy my bracelets. i dont want your money. Sally mengeluarkan semula 2 dollar tu. dicampakkannye ke atas meja.
ok..ok..i buy your bracelet. mimi aliah pun membeli gelang itu dengan rasa berbelah bagi
ok thank you!  Sally beransur dari situ dengan senyumannya yang panjang lebar.

selang beberpa minit kemudian, muncul sebuah van putih. memecut laju lalu berhenti betul-betul di depan gerai. tidak diduga ramai kanak-kanak berlari-lari ke arah van itu. kanak-kanak yang muncul dari setiap genap ruang ibu kota Phnom Penh. semuanya senasib seperti Sally. mengemis di jalanan. menagih simpati orang ramai supaya membeli gelangnya. dalam kebingitan kanak-kanak gelendangan itu, kelihatan pula seorang lelaki sibuk mengira duit. mungkin hasil daripada jualan gelang-gelang tersebut. setelah selesai urusan mengira duit, kanak-kanak gelendangan itu pun berpusu-pusu masuk ke dalam perut van. Sally sempat menoleh, seraya tersenyum kepada kitaorang.

eh biar betul budak ni. dia jual gelang untuk mak dia ke, untuk orang lain? ternyata di bumi Kemboja, kanak-kanak telah diekploitasikan. mereka hanya tidur di jalanan. tiada rumah. tiada keluarga. kemiskinan sentiasa membelenggunya. mungkin mereka sempat lagi diselamatkan. masa depannya? Wallahualam. aku tak tahu.
Itulah dinamakan Kemboja. tempat yang tidak pernah terlintas untuk aku lawati sebelum ini. sekiranya kita hendak belajar sesuatu, pergilah negara yang mundur seperti Kemboja. dari situ kita akan lebih tahu apa itu nikmat kesyukuran.



p/s : rata-rata kanak-kanak yang beragama Islam tiada di jalanan.
       1 dollar = +- rm 3.40

Thursday, October 27, 2011

Menguji dan diuji

Jam menunjukkan 3 pagi. tapi aku masih merenung kosong skrin netbook. mata aku ternyata masih degil. semakin hari semakin liat nak tidur gamaknya. kadang-kadang aku terlentang. kadang-kadang aku meniarap. berguling-guling sesuka hati kat atas katil yang maha besar ni. tapi sebenarnya ia membuatkan aku lagi membosankan dalam bilik yang kedap ni. kalaulah aku ni perokok tegar, mungkin aku lakukan perkara yang sama seperti kelaziman lelaki-lelaki lain di luar sana sekarang ni. contoh yang paling dekat, kawan-kawanku sendiri : menyalakan sebatang rokok, hisap. hembus. main-main dengan asap. lepas tu teguk air coke dengan rakus. semata-mata nak hilangkan kebosanan punya pasal. tapi aku tahu, aku tak mampu lakukan semua tu. entah. mungkin paru-paru aku begitu manja. masih mentah lagi.

aku bukak helaian tingkap. biarkan angin malam masuk berdesup-desup melingkari bilik. aku terlentang semula kat katil. merenung kosong syiling bilik yang samar-samar kelam. kala ini, baru aku tersedar. dah seharian rupanya aku tak berhubung dengan dia. tanya khabar dia. wish good morning kat dia. tanya dah makan ke belum kat dia. sihat ke dia?apa yang dibuat sekarang?tadi tengahari dia makan apa?macam mane kelas dia hari ni? fuhh.. macam mane lah aku boleh tahan untuk tak berhubung dengan dia. untuk hari ni saja.

ya. untuk hari ni saja aku biarkan diri aku diseksa. diseksa oleh satu perasaan yang aku cipta sendiri. nak tunjukan aku kuat kononnya. tak berhubung dengan dia, hari-hari aku boleh hidup. tanpa penyesalan. tapi mungkin ada kekecewaan kan? mungkin aku dah terdorong oleh kata hati aku sendiri yang melonjak-lonjak agar aku menguji dia. tapi adakah terlalu awal untuk aku menguji dia?sebenarnya ia adalah masa tepat untuk aku menguji dia. sebab sepanjang hari ni, dia tidak pernah berhubung aku. untuk tanya khabar aku. untuk wish good morning kat aku dan semualah persoalan yang kerap aku tanyakan kepadanya. saban hari. iya, terdapat kekecewaan di sini. tapi aku tak putus asa bro. dia tetap perempuan. perasaan malu masih merajai hati. aku yang merentis jalan ni, jadi biarkan aku sendiri yang mencorakkan jalan ni jugak. sama ada di tar atau hanya dicampakkan batu kerikil saja.

esok aku tak nak uji dia lagi dah. usaha masih berterusan. sekian

Luahan rasa : Bintang

Jika ditanya.siapa aku?
Aku hanyalah seorang lelaki
Yang gemar terlentang di hamparan
Menghayati kesyahduan malam yang mengasyikkan
Menyaksikan lukisan bintang berselerakan

Aku menguraikan jemariku ke atas
Bagaikan menyentuh hamparan malam
Aku sedar
Betapa kecilnya tapak tanganku ini
Lalu terdetik, mampukah aku?
Untuk merangkul semua bintang di sana sini?
Untuk disemadikan dalam jiwa yang sunyi?
Untuk menciptakan keluhuran budi?
Untuk menyemai impian nan suci?

Rasanya aku tak mampu.

Jika ditanya lagi.sekiranya kau adalah bintang?
Mungkin aku menjadi bintang paling hujung di sudut malam
Bintang yang paling kelam
dan senyumannya kelihatan tenggelam

Jika ada persoalan lagi. bagaimana caranya agar kau tak terus kelam?
Mungkin aku perlu menjadi bintang yang boleh mendaki
Menepis semua bintang-bintang yang kian berseri
Agar aku mudah mendekati mentari
Supaya lingkarannya terus mengelilingi.

Sememangnya aku adalah manusia biasa ;
Manusia-manusia yang lumrah bertebaran di muka bumi ini
Yang terlalu banyak angannya
Ada angan yang pasti, dan ada juga angan yang diagui
Ada angan yang murni, dan ada juga angan yang dikhianati
Ada angan yang wangi, dan ada juga angan yang berduri
Terpulang. Angan masing-masing terletak di pundak masing-masing.

mudah-mudahan, agar tercapai semua anganku. dunia dan akhirat. sesungguhnya aku tak pernah berhenti berdoa. amin

Wednesday, October 26, 2011

Suri

Suri
Nyanyikanlah puisi untukku
Puisi yang tercetus dari jiwamu
Agar aku senang pada hari esok

Usah kau risau pada waktu yang bergulir, Suri
Biarkan ianya lalu dengan secercah harapan

Tidurlah dahulu, Suri
Bawalah bersama pujanggamu
Biarkan aku di sini
Menemani bulan
Agar ianya terus menerangi
dan melimpahi kita bersama

maafkan aku kalian. kejiwangan aku semakin menggila saban hari. ya, mungkin ni semua kata hati

Luahan Rasa : Gelap

Bila gelap
Kau tercari-cari
Bila tercari-cari, kau jadi kurang pasti
Bila kurang pasti, kau mula sendiri
Bila sendiri, kata akal tolak ke tepi
Bila tolak ke tepi, kau jadi tuli
Bila dah tuli, kata orang tak ambik peduli
Bila tak peduli, kau sebenarnya dah 'mati'

Semua tak bermakna lagi
Bila kata hati dituruti
Rosaklah kau sampai mati

Oleh itu, duduklah dalam terang

Jalan Dunia

Aku masih leka
Menyusuri jalanan dunia
Jalan-jalan yang berselirat
Lagi mengusutkan

Jalan-jalan ini aku rasa
Amat menyesakkan
Kiri, kanan, bau busuk
Mencucuk-cucuk
Adakala aku gemar dengan bauan ini
Entahlah kenapa.

Bila waktu semakin pupus
Aku hampir lemas
Aku perlukan seseorang
Tolonglah keluarkan aku
Dari jalan-jalan ini

Bawalah aku 
Ke jalan yang benar-benar lurus
Di mana ada cahaya di penghujung jalan
Bukan kegelapan yang menyesatkan.

Tuesday, October 25, 2011

Cerpen : Dalam Kerinduan Hiroshima


 "Tanaka melihat jam yang melingkari pergelangan tangannya. Ah, jam baru menunjukkan 8.12 minit pagi. Terlalu awal baginya. Dia mendongak, melihat hamparan langit. Kelihatan tiga buah pesawat pengebom berlegar-legar di ruang udara Hiroshima. Tanaka cuba mengecam pesawat pengebom itu.
“Masya Allah!”. Kalimah suci itu terpacul daripada mulutnya setelah mengenalpasti itu adalah pesawat perang Amerika Syarikat, B29.
“Lari!!selamatkan diri! Kita akan diserang!”. Tanaka berlari kearah utara sambil menempik. Memberi amaran kepada orang ramai yang terus bersimpang siur. Lagak pelik Tanaka terus menjadi bahan ketawa orang di sekeliling. Amaran Tanaka langsung tidak diendahkan.
            Tiga minit kemudian, sebutir bom atom Uranium-235 telah meledak pada jarak 600 meter dari atas bangunan Hospital Shima, kira-kira 300 meter dari tenggara Jambatan Aioi. Keadaan sekeliling serta merta gelap, disusuli tekanan letupan yang maha dasyat. Sehingga menghasilkan jaluran asap bak cendawan yang meninggi hingga beberapa meter ke atmosfera. Ledakan yang disertakan dengan gegaran bunyi yang kuat dan biasan cahaya putih yang amat menyilaukan itu merupakan kesan daripada 50 kg Uranium, bersamaan dengan 16,000 tan bahan letupan kimia yang tinggi.
“Allahuakbar!!!” Tanaka terjun ke sungai Motoyasu tatkala gelombang api semakin menghampiri. Serentak dengan itu, terdapat bola api yang berdurasi 1 saat dan berdiameter lebih 200 meter tergantung di tengah-tengah langit hitam Hiroshima. Ramai yang mati serta merta akibat sinar haba yang mencecah 3000 hingga 4000 darjah celcius itu.
            Tanaka menyelam sedalam-dalam yang boleh. Nafas yang dikumpul tatkala sebelum memasuki air, dirangkul sehingga menyempitkan paru-paru. Setelah tiga minit, Tanaka menyembulkan kepala di permukaan. Mengambil oksigen sambil tercungap laju. Kelihatan orang ramai berpusu-pusu  terjun ke sungai. Ada yang meronta-ronta meminta air dan ada juga yang terbakar seluruh badan. Tanaka berenang ke tepian. Sungai Motoyasu semakin sesak dengan manusia yang bermandikan darah. Bahang panas terus menyiat-nyiat kulit. Bagaikan matahari sejengkal dari kepala.
            Tanaka melihat keadaan sekeliling. Gelombang api yang mengganas telah meranapkan seluruh bangunan sehingga dua kilometer dari pusat letupan. Di kejauhan utara kelihatan api marak yang menggila, menelan mangsa tanpa belas kasihan. Mayat-mayat pula bergelimpangan di atas jambatan Aioi. Seluruh badan mereka melecur teruk, sehingga tidak menunjukkan rupa fizikal manusia yang sebenar. Di hadapan bangunan Dewan Promosi Perindustrian Hiroshima yang hampir runtuh itu, kelihatan orang ramai berteriak menyelamatkan diri. Berlari sambil mendepakan kedua-dua belah tangan. Kulit yang tersiat terjuntai-juntai bagaikan kain perca. Pakaian mereka koyak rabak. Seluruh badan kehitaman, sehingga tidak dapat membezakan antara lelaki dan wanita. Kedua-dua biji matanya tersembul manakala bibir mereka terjuir-juir.  Di sana sini kelihatan kanak-kanak bertelanjang, menangis memanggil ibunya. Daging mereka bagaikan disalai. Peritnya memang tidak tertanggung. Hiroshima benar-benar bagaikan kiamat.
Tanaka melihat jam. Jarum minit dan saat terhenti, menunjukkan 8.15.
“Ya Allah, malapetaka apakah ini?”. Tanaka bagaikan hilang arah. Memandang sekeliling sambil matanya berpinar-pinar. Lecuran di bahu kiri dan kanannya bagaikan ditoreh-toreh, lantas baju rabaknya dikoyakkan. Ketika ini, Tanaka mula memikirkan nasib kedua orang tuanya, lantas berlari sekuat hati meninggalkan suasana perit yang menyelebungi bandar Hiroshima. "
  
petikan cerpen 'Dalam Kerinduan Hiroshima'
karya : shahiryusoff






 kenangan di Hiroshima. Jun 2011. 
sekiranya ada peluang kedua, akan aku bertandang ke tempat ini semula.
sekian.
 






sekiranya aku bisa terbang

sekiranya aku bisa terbang
akan ku menerjang pekat malam
untuk membisikkan kata rindu kepadanya.

sesungguhnya aku dalam kerinduan yang amat.

Monday, October 24, 2011

bangun

rasanya
aku perlu bangun 
dari mimpi-mimpi
yang boleh menjatuhkan aku sendiri.

bahaya.

awek dan duit?

shahir, kalau kau ada awek, tapi takde duit pon takkan ke mana hidup kau. kalau kau ada duit, pejam mata je confirm ramai awek datang. kalau kau serius nak duit, jom masuk bisnes aku.

entah. aku malas nak layan. dah masak sangat dengan agenda kau. kalau aku ada awek bro, aku bagi kejujuran dan kasih sayang aku kat dia. tu pun dah cukup. sebenarnya duit tak menjanjikan apa-apa.

Sunday, October 23, 2011

luahan rasa : hidup dan cermin

aku bangun pagi ni seperti biasa-biasa saja, bukan kabut seperti hari yang sudah.
aku berteleku di atas peraduan aku sendiri : menongkat dagu. memisat-misat mata yang terasa amat kuyu. menguap dan mengeliat dengan sepenuh hati. aku menoleh ke kanan. melihat roomate aku yang sedang lena. ah.. tenangnya kau tidur. apa yang kau mimpikan ha? sangat sopan peraduan kau. bagaikan takde masalah yang datang menghimpit.
aku segera bangkit. melangkah longlai. menghadap cermin panjang di tengah ruang bilik yang kedap. baru aku perasan, aku tidak berbaju rupanya. hanya berseluar pendek biru. aku membelek-belek muka ku. memicit-micit jerawat yang bersisa.  mengurut janggut yang sejemput. mengusap misai yang nipis. tak cukup dengan tu? aku membelai perut yang sedikit buncit. terpusing kanan, terpusing kiri. tak ubah seperti model pengantin. lalu aku merenung anak mataku sendiri. sedalam-dalamnya.

"kau memang dah sempurna, shahir. cukup sifat. sepatutnya kau perlu berasa bersyukur, bukan merungut. jadi apa yang perlu kau risau?

ya. sepatutnya aku tidak perlu malu dengan diri aku sendiri. ya juga. aku rasakan hidup sepatutnya memerlukan cermin. dari cermin kita dapat mengenal erti syukur. syukur. dan syukur. sebuah perasaan yang tidak terhingga nikmatnya.

dunia oh dunia

aku ngeri melihat percaturan dunia sekarang. seringkali aku keliru. apabila kebenaran di selubungi kebatilan. dan apabila kebatilan dibayangi kebenaran. sepatutnya aku berada di paksi yang mana?

Saturday, October 22, 2011

buat pertama kali

Insyaallah
malam ni aku akan berjumpa dengan dia
buat pertama kalinya

semoga segalanya akan dipermudahkan.

Friday, October 21, 2011

bila hujan

bila hujan, aku hanya terbaring. terlentang. merenung kipas yang ligat berpusing. aku sengaja tidak bergerak. saja manjakan diri dengan suasana bilik yang kelam. sunyi. sejuk. lagu permaidani dendangan aris ariwatan pula hanya sayup-sayup di hujung bilik.

tak tahu mengapa sejak kebelakangan ni kerap hujan hampir setiap petang. mungkin ianya memberi ruang untuk aku bersendiri. dan merenung kembali apa yang aku dah lakukan sebelum ni.

aku mengiring ke kiri. menghadap dinding yang kelihatan kusam. rupanya baru aku sedar....

'oh banyaknya dosa yang aku dah buat hari ni'

aku terlentang semula. anak mata aku tak bergerak.

'emm..doa orang yang banyak dosa macam aku ni, dimakbulkan ke?'

aku bingkas bangkit. aku masih belum mengerjakan asar. lalu wuduk kuambil dengan serendah hati. dalam keghairahan hujan, aku bersujud dan berdoa semahu-mahunya. agar doa-doaku diperkenankan.amin

Thursday, October 20, 2011

muda

aku duduk di perhentian bas. dalam mood menunggu. hujan pula terus menggila.
'di sebelah aku ada dua orang gadis. gadis-gadis yang sudah tentunya aku kenal.

shahir, sekarang dah final year ke?
aah, final year. sem depan habislah.
erm, sebelum masuk degree, dulu asasi ke?
eh tak lah
matrikulasi?
eh tak lah.. dulu aku diploma. tiga tahun
oh takpe. muka still nampak muda. hehe

aku tersengih, sambil merinci hujan-hujan yang menitik. kasut yang kebasahan dari tadi, aku biarkan saja. malas nak mengelak.

erm. muda ke aku ni? aku balik bilik terus tengok muka kat cermin.

Wednesday, October 19, 2011

luahan rasa : laut

dulu, entah kenapa aku gemar duduk kat tepi pantai. lihat lautan. sampai tersepet-sepet mata aku, lihat hingga ke bahagian laut paling hujung. yang dikatakan penghujung dunia.

kata orang, bila lihat laut. jadi mudah pelupa.

ah. aku tak ambik pusing. yang penting aku rasa tenang dan senang. otak jadi kosong. tak memberat dengan masalah yang datang bertalu-talu.

sekian

Tuesday, October 18, 2011

mencari

kelmarin, aku berkempatan bersua dengan Faisal. ketika konsert Gegar KLfm di bukit ekspo. hampir setahun jugak aku tak berjumpa dengan dia. sudah ada kerjaya rupanya. semakin hebat dia sekarang. mana tidaknya, profesion sebagai wartawan kat Utusan Malaysia, kerja yang bukan calang-calang.

di sebelahnya, ada seorang gadis. khusyuk menghayati alunan One Nation Emcees yang galak di pentas. manis orangnya. kecil molek. katanya, dia menjadi cikgu di Sabah. pun bukan calang-calang profesionnya.

siapa tu Faisal?
buah hati aku, Shahir.
kau dah dapat?
aku dah dapat, Shahir. Alhamdulillah.
bila tunang?
Insyaallah, kalau ade rezeki, tak lama lagi la.hehe
oooo..amin..
*******
kau apa cerita sekarang?
aku macam ni je la, Faisal. takde apa yang menarik
erm..kau masih mencari?
aku masih mencari lagi, Faisal. cuma sabar, tak sabar je.
teruskan mencari, Shahir. siapa tahu, apa yang kau cari tu memang dah ada kat depan mata kau.
macam mana kau boleh bersabar dalam waktu yang lama, Faisal?
aku selalu berdoa, Shahir. kau masih muda. jangan takut dengan masa yang akan tinggalkan kau.

Faisal hanya tersenyum. dulu aku dan dia sama-sama mencari. senasib. tapi kini, dia sudah menemuinya. sepatutnya aku perlu menjadi seperti Faisal.

tahniah di atas konvokesyen kau bro. sori aku tak dapat bagi kau bunga.

sekian

p/s : mungkin kalian akan merasa bosan dengan luahan aku mengenai cinta. cinta..cinta dan cinta. rasa macam takde penghujungnya. kadang-kadang aku jugak merasa bosan. tapi hari-hari aku sentiasa dihantui dengan satu perasaan yang sentiasa membuak-buak. perasaannya yang aku sendiri tak fahami. mungkin di hari mendatang aku lebih mengerti.

luahan rasa : buat baik

mak aku pernah berpesan. jangan pernah berhenti berbuat baik dengan semua orang. dengan sesiapa saja. tapi mestilah tanpa mengharapkan balasan.

tapi mak, kalau orang tu terus baling telor kat muka kita macam mane?

takpelah. teruslah buat baik dengan dia. biar dia sedar, yang kita betul- betul ikhlas berbuat baik dengan dia. cari kawan sebenarnya lagi senang daripada cari lawan.



mak aku memang positif. sebab itulah aku sayang dia. sekian

permainan manusia

kadangkala aku hairan dengan permainan manusia. dan kadangkala aku rasa permainan manusia memang tidak dijangka. dulu kau rasa, kau dah cukup terbaik untuk dia. tidur sebantal, makan sepinggan. bila kau cubit peha kanan, peha kiri si dia yang terasa. di mana bumi yang kau pijak, di situlah langit yang dia junjung. sehinggakan sekeliling menggelarkan kalian 'gay' sejati, walhal pada realitinya adalah tidak.

tapi sekarang? kalian bermusuhan yang paling hebat, antara satu sama lain. bila bercakaran, seperti mengalahkan perang dunia. sekeliling yang menjadi mangsa. tak ubah seperti sifat api dan air. dua karekter yang sangat berbeza. bila ada peluang, masing-masing tak mahu kalah. menunjukkan kuasa siapa yang paling hebat.

ini semua hanya disebabkan satu garisan yang sangat halus, yang mampu mencantas siapa saja. akibat daripada kesalahan yang sekecil kuman, dikorek, dicari lalu dilayangkan ke udara.

aku tak tahu bila kalian akan seperti dulu. kau dan dia hidup di atas hamparan yang sama. nikmat dan rahmat dikongsi bersama. jadi kalian hanyalah insan yang biasa dan sama rata. tiada yang hebat, dan tiada yang kalah. tidak ada kerugian sekiranya kalian bersama semula. sememangnya kau dan dia diciptakan untuk saling memerlukan. bukan bermusuhan.

sesungguhnya,  aku merindui zaman 'muda'ku. di mana aku mula bertatih dalam permulaan permainan. sekian.

p/s : ingatan untuk aku dan orang lain

Monday, October 17, 2011

luahan rasa : sabar

mungkin aku perlu bersabar sedikit masa lagi
untuk menunggu jawapan darinya
yang sukar untuk aku ramalkan

kadangkala aku takut dengan jawapannya
sama ada ianya akan menggembirakan 
atau mengecewakanku

Sunday, October 16, 2011

menangis

aku pernah menangis kerana dia
aku pernah menangis kerana harta benda
aku pernah menangis kerana mereka
dan aku pernah menangis kerana nasib yang menimpa

tapi pernahkah aku menangis kepadaNya?
sedangkan Dia yang mengatur perjalanan aku
yang menyusun takdirku
yang menemukan aku dengan dia
yang menemukan aku dengan mereka
dan yang mengurniakan aku dengan segala harta benda
yang pernah aku tangisi dahulu
menangislah kepadaNya dan mintalah apa jua daripadaNya.
sesungguhnya Dia Maha Mengetahui.

sekian

kalau aku pengarah filem

kalau aku diberi peluang jadi pengarah filem, aku akan bikin cerita yang berkisarkan kemanusiaan dan realiti hidup. supaya kita akan lebih celik. bukan seperti lambakkan cerita hantu yang semakin lama semakin sampah. yang membuatkan kita semakin kolot.

aku masih kagum dengan karya Riri Riza dalam Laskar Pelangi dan Sang Pemimpi. sekian

Saturday, October 15, 2011

kebanggaan aku terhadap kau

shahir. nanti jangan lupe datang konvo aku tau..
bila sesi kau bro?
isnin pagi. aku bagi speech time tu
wah..hebatlah kau bro. tahniah weh.
ko boleh tengok live aku bagi speech nanti. ajak member-member yang lain ye,.
ok. no hal bro. eh, aisah dapat bagi speech jugak ke?
aah. die dapat. die speech time sesi die pagi tadi.
wahhh..hebatlah korang

*******************************

dol, esok datang panggung percubaan tau
kenape?
aku bagi speech. kau leh tengok live kat situ
perghh..hebatlah lu bro. bila kau dapat anugerah yayasan pak rashid?
sesi pagi tadi..
tahniah la weh..

aku tak pernah berhenti rasa bangga dengan kawan-kawan aku. sememangnya aku dikelilingi orang-orang yang hebat. kalau nak dibandingkan aku dengan dorang. aku hanya seekor semut merah yang dikelilingi segerombolan gajah

tiba-tiba aku rasa terdetik. oleh suara-suara halus yang terluah dari dalam.

"sepanjang kau hidup, apa yang kau dah benar-benar lakukan untuk orang lain? ada ke orang yang akan berbangga dengan kau?"

aku hanya terdiam. cuba cari jawapan tu. dek persoalan dari jiwa aku  yang terkurung di dimensi lain. persoalan yang sukar untuk aku jawab sendiri. mungkin bagi orang, ianya amat mudah dirungkaikan. sekian.

p/s : tahniah kepada semua sahabat-sahabat yang akan bergraduat! tahniah bro. kau memang hebat

Friday, October 14, 2011

Kisah Benar. Adib dan Nizam

Adib mengeluarkan sekotak rokok dari kocek seluar jeansnya. Tertera tulisan putih 'Dunhill' atas kotak rokok tersebut. Di bahagian tepi kotak rokok pula terdapat satu imej janin yang telah rosak. Amat mengerikan. Tapi Adib hanya menjeling saja, sambil menyalakan sebatang rokok. Maka keluarlah asap berkepul-kepul dari pinggir bibir hitamnya.

Adib, aku nak sebatang?. Nizam bersuara perlahan.

Tak boleh, kau bukannya hisap rokok.

Apa salahnya aku cuba doh?

Apa yang kau cuba tu sebenarnya permulaan kau tau tak?

Tapi apasal kau boleh?

Sebab aku dah terlanjur Zam. Aku kena teruskan. Nak berhenti susah.

Kalau aku hisap rokok pun, apa yang kau kisah Dib?

Sebab aku tak nak tengok kau rosak. Biar aku je yang rosak.

Nizam terdiam sejenak. Dia kalah menongkah kata dengan Adib. Kotak rokok yang berada disebelahnya di tenung. Diambilnya, dironyokkannya sekuat hati lalu di buangkan ke dalam longkang, hanyut dek kepekatan air yang kehitaman.

Pehal kau buang rokok aku doh?! Kau ingat murah ke benda tuh?. Adib membentak. Muka Nizam hampir ditumbuknya.

Kalau kau tak nak tengok aku rosak, aku pun tak nak tengok kau rosak. Kau boleh berubah, cuma ambil masa. Tak salah kan? Aku kan kawan kau. Nizam tersenyum nipis, lalu bingkas bangun berlalu dari situ.

Adib hanya tercengang. Dia juga kalah.

Thursday, October 13, 2011

aku, kau dan bulan

bulan kelihatan sangat cantik malam ini.
terangnya kelihatan sempurna.
cahayanya kelihatan indah
 mampu menenangkan aku
yang sesungguhnya dalam kerinduan

aku berharap dia juga melihat bulan malam ini
seperti aku
tapi aku tak pasti 
dia akan merindui aku atau sebaliknya.
hanya bulan sahaja yang mengerti

merekalah bangsa yang maju

Jepun. siapa yang tak mahu pergi ke sana. setiap orang mengimpikannya. siapa saja yang nak melihat gaya hidup dan peradaban orang2 sana. kemajuan dan pemikirannya. bila aku dapat peluang ke sana, aku dapat rasakan akulah orang paling bahagia di dunia. tak sangka, angan2 dari kecik. nak teroka tempat orang akhirnya jadi realiti.

aku ambil kesempatan ni, aku cuba mempelajari apa yang aku nampak dan apa yang aku alami sendiri. jujur aku katakan, aku sangat kagum dengan kemajuan dorang. seringkali juga aku bandingkan kemajuan kita dengan kemajuan dorang. memang berbeza. kadang2 aku fikir, kenapa kita tidak mampu untuk menjadi seperti dorang? sebab sesetengah daripada kita, malas. masih di takuk yang lama. disiplin dorang memang tinggi dan dorang amat mementingkan masa. bagi dorang masa adalah segala-galanya. dorang amat menghargai masa. kebaikan masa tu dorang gunakan untuk diri sendiri dan juga untuk orang lain.

siang, malam dorang bekerja tak berhenti. dengan bekerja, dorang akan merasa puas. bila dorang bekerja, dorang akan tolong antara sama lain. tak pernah ada rasa hasad dengki. sebab dorang adalah satu bangsa yang serumpun. bila satu jatuh, jatuhlah semua. bila satu bangun, bangunlah semua. otak dorang sentiasa bekerja. tak pernah putus idea. berfikir bukan untuk diri sendiri saja, tapi untuk semua. dan satu perkara lagi yang paling aku kagumi, dorang amat berbudi bahasa. bila orang luar datang, dorang akan layan kita dengan sebaik mungkin. dari luar rumah hingga lah ke bilik tidur. bila kita di jalanan, kita akan dilayan seperti saudara sendiri.
kat mane2 tempat. kene asingkan sampah!barulah disiplin
kat Katsurahama Beach, Kochi

 Ino Paper Museum, Kochi

 Otoyo, Kochi




Tokyo

 susah nk jumpa orang obesiti kat sini
Shibuya, Tokyo

dan yang paling best, aku dapat jumpa adik aku yg study kat Tokyo.

dorang pernah kecewa dulu. peristiwan bom atom di Hiroshima betul-betul menaikkan semangat dorang. dorang terus bangun, bukan terus rebah. tapi sayang, dorang takde pegangan agama. hanya percayakan semangat animisme. tak hairanlah dorang gemar membunuh diri sekiranya dalam keadaan putus asa. takde pegangan yang melarang dorang untuk melakukan perkara yang sia-sia. kita kat Malaysia, semuanya dah ada sebenarnya. pembangunan kita maju. tapi sekiranya pembangunan seiring dengan pemikiran kita, tak mustahil kita juga mampu menandingi dorang. boleh berubah, tapi mengambil masa.

aku dari dulu lagi, suka kagum dengan kehebatan orang lain. sebab dari situ aku belajar dan kenal diri aku sendiri. tak kiralah orang tu lagi muda dari aku atau dia tu makan garam dulu dari aku, aku tetap hormat dia. disebabkan kehebatan dia yang takde pada aku. walauapapun, aku tetap berbangga dengan bangsa aku, negara aku dan asal usul aku. cuma mencedok sikit ramuan daripada bangsa yang telah maju. sekian.

p/s : penghargaan yang tidak terhingga kepada pihak pengurusan Kolej Tiga Belas dan Pusat Antarabangsa UPM. terima kasih banyak2!




mane nak aku alamatkan?

semalam, kali kedua aku bagi surat kat die. bagi orang atas orang. aku harap sangat surat tu sampai kat die. pada mulanya, aku terlihat die dari jauh. amat jauh. aku tak tahu cara nak mendekatinya. aku tak tahu name die. aku tak tahu asal usul die dan aku takde akaun fb die. sehinggalah aku rasakan aku perlu bagi surat kat die. aku luahkan apa yang aku nak : aku betul2 nak berkenalan dengan die, dengan ikhlas.
tapi sampai sekarang aku masih menunggu jawapan die. aku selalu bayangkan macam mane perasaan die bile die dapat surat dari aku secara tibe2? : pelik? marah? sedih? blur?. lepas tu, aku selalu bayangkan macam mane reaksi die bile die dah abis bace surat aku? : "entah pape mamat ni".."mamat gile mane la yang syok kat aku ni?".."hensem ke tak ek shahiryusoff ni?".."whatever!ada aku kisah?"..kat mane die simpan surat aku? : kat dalam laci? kat kocek seluar tidur die?kat bawah bantal?atau kat dalam tong sampah? macam2 la aku pikir. ke die nak balas surat aku tapi tak tau carenye macam mane?..mungkin aku kene berusaha lagi. lepas aku tengok die hari tu, aku dah tak jumpe die lagi dah. cume surat saje yang paling sesuai sebagai perantara.

aku dapat rasakan yang aku berkongsi perasaan dengan penyanyi lagu fatwa pujangga ni. lagu ni sajalah yang dapat memahami aku.




Tapi sayang sayang sayang
Seribu kali sayang
Ke manakah risalahku
Nak kualamatkan

Terimalah jawapanku ini
Hanyalah doa restu Ilahi
Moga lah Dik kau tak putus asa, sayang
Pasti kelak kita kan bersua

semoga ada keajaiban dalam hari-hariku mendatang. sekian

Tuesday, October 11, 2011

penantian cinta

kata orang, cinta itu indah. jujur aku katakan, aku cuba menyelami keindahan tu. dari dulu hingga kini. walaupun cinta pernah datang sekejap, tapi aku siakan. tolak ke tepi macam sampah. sekarang? aku bagaikan terkontang kanting. dah tiba masa aku memerlukannya, untuk melengkapkan lagi kitaran hidup aku. kadang-kadang aku rasa, betapa terdesaknye aku. terhegeh-hegeh mencari cinta tu. sehinggakan aku hampir menyerah kalah, hanya mengharapkan masa menyebelahi aku. tapi aku kena tanya diri aku sendiri : adakah aku terlalu memilih? atau aku belum bersedia? kadang-kadang keadaan sekeliling yang mendesak aku untuk berkasih, bukan lahir dari hati..sebenarnya persoalan yang paling tepat, aku kena tanya diri aku sendiri, apa yang aku mahukan sebenarnya? dari situ aku akan mendapat jawapannya.

aku masih menagih cinta kepadaNya, kerana ianya adalah cinta hakiki . sekian

aku tak mampu

aku selalu beranggap
aku mampu untuk menjadi seperti orang lain
tapi sebenarnya tidak
amat susah.
walaupun aku dah melalui jalan yang panjang berbanding mereka
tapi ternyata banyak lagi perkara yg aku tak tahu.
sekarang ni aku mengharapkan pada masa
agar diberikan ruang 
untuk aku mencari kelebihan aku sendiri
supaya hari2 esok adalah hari aku.
sekian



Wednesday, October 5, 2011

leluhurku

pernah terdetik
sekiranya aku tak mampu menerima setiap nikmatNya
aku berharap
biarlah leluhurku yang merasai nikmat itu
dari situ
aku akan rasa lebih gembira.

aku tak mahu leluhurku menyusuri jalanan yang pernah aku lalui..

sekian.

Sunday, October 2, 2011

Malam

aku berteleku di balkoni
dalam kedinginan malam
bertemankan secawan teh panas
puisi-puisi MNasir kubiarkan saja
sengaja menyejukkan halwa telinga.

aku merinci setiap ruang malam
sunyi
sepi
kosong
aku mengambil nafas malam
lalu menghela dengan perlahan
aku cuba mengosongkan jiwa
menyingkirkan segala kegalauan
agar nikmat malam lebih terasa.

aku tenung hamparan malam
hambar
tiada bintang
kadangkala aku terfikir
sekiranya bintang bertandang malam ini,
adakah aku mampu menggapainya?
sekiranya bintang hilang malam ini,
adakah aku mampu mencarinya?

malam
membuatkan aku sentiasa sedar
akan putaran waktu yang melingkariku selama ini
di saat ini
aku merasai aku lebih dekat denganNya




Short Video 2011- Realitinya



Hampir seminggu lebih aku paksa otak aku bekerja. nak cari jalan cerita yang menarik. biar kena dengan tema ' Jom Jumpa Kaunselor'. so inilah hasilnya. tak seberapa. banyak lagi yang perlu diperbaiki.

video pendek ni takkan berhasil sekiranya tanpa bantuan dorang. komitmen yang sangat2 aku kagumi. walauapapun, terime kasih tak terhingga :
1. Zaidi, Darsuki, Faiz - pelakon
2. Juliana - tuan punya kamera (Nikon D3100)
3. Cik Wang - tuan punya tripod
4. Syaf, Ikhwan, Aiman - pencetus idea yang baik

dan semualah yang membantu secara langsung atau tak langsung. Semoga video ni menempa kemenangan. InsyaAllah.

Saturday, October 1, 2011

kita hanya watak

kita hanya watak di pentas dunia.
yang mencorakkan cerita
dan pengakhirannya

 kenangan di Phnom Penh, Kemboja 2011
kita tak pernah sedar
kadang-kadang kawan yang jauh dengan kita
dialah sahabat yang sebenar.